Saturday, February 19, 2011

Berita Minggu: ‘Tak henti menangis terkenang Sudir’


Kakak penghibur nasional akui dokumentari menarik

SELEPAS menyiarkan paparan istimewa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, saluran History (Astro 555) mulai hari ini cuba mengimbas kembali sorotan kejayaan, suka duka, memori dan kisah cinta ikon hiburan terkenal tanah air, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dalam sebuah episod biografi istimewa selama sejam.

Ia bersesuaian dengan genap 19 tahun pemergian lagenda yang pernah mendapat gelaran Penyanyi Peguam itu pada 22 Februari 1992. Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1989 ini masih berbekas di hati peminat yang cukup menyanjungi bakat dan kerendahan hatinya.

Biografi yang bersiaran jam 10 malam ini dihasilkan AETN All Asia Networks dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Gerard Benedict diberi mandat sebagai penerbit. Selain memaparkan temubual bersama bekas pengurus dan teman baik Allahyarham, biografi ini cukup indah memaparkan perkahwinan pertama Allahyarham dengan Kamariah Jamaludin yang dikenali dengan panggilan Kay. Kay adalah cinta pertama dan terakhir Allahyarham.


Gerard Benedict
(Penerbit Dokumentari Sudirman)


‘IDEA ini sebenarnya sudah tercetus sejak 10 tahun lalu. Ada perbincangan dilakukan dengan teman baik Allahyarham seperti Bahyah Mahmod, Saodah Ismail dan ramai lagi. Bincang punya bincang tetapi tidak jadi juga akhirnya. Sampai tahun lalu kita mencadangkan balik hal ini. Pihak kami juga cuba berunding dengan kakak Allahyarham, Datin Rodziah Arshad.

Bagaimanapun, kakak Allahyarham menolak dan memahami niatnya supaya sudut pandangan mengenai Sudirman dihalakan kepada orang luar dan bukannya ahli keluarga sendiri. Saya pernah melakukan dokumentari sebelum ini dan memang ada keluarga yang enggan ditemubual. Akhirnya saya menyedari memang lebih baik jika orang luar saja memberi komen. Kami bertuah kerana selain mendapat komen daripada teman rapat Allahyarham, kami juga berpeluang menemubual peserta dari Filipina, Kuh Ledesma yang pernah bersaing dengannya di Asia Music Award 1989 di Royal Albert Hall, London. Begitu juga dengan penganjur anugerah terbabit, Simon Napier Bell yang pernah menguruskan George Michael dan kumpulan Boney M. Biografi ini lebih menyorot mengenai Sudirman sendiri dalam melalui pahit getir, kesusahan dan cabaran bergelar manusia dan anak seni. Pembikinan biografi ini dimulakan selama lima bulan sejak Ogos tahun lalu.”

Datin Rodziah Arshad
(Kakak Allahyarham Sudirman)


“SAYA diberi peluang untuk menonton dokumentari ini terlebih dulu dan pada pengamatan saya ia cukup menarik. Saya tak henti menangis. Malah, cucu saya yang berusia enam tahun pun menangis sama. Malah selamba dia cakap, kenapa dia tidak dilahirkan awal untuk mengenali Sudirman ketika hayatnya masih ada. Perasaan bersalah pun melingkari perasaan saya terhadap penerbit dokumentari ini (merujuk kepada Gerard) kerana beberapa kali saya mengecewakan permintaannya untuk tidak ditemu bual. Terutama, mengenai kisah Allahyarham ketika kecil. Apa-apapun, saya berterima kasih kepada Gerard, AETN All Asia Networks dan FINAS kerana menghasilkan dokumentari ini.

“Tiada kata secantik bahasa dan tiada gambar lukisan antara gambaran perasaan saya terhadap penghasilan biografi yang cukup indah ini. Setiap hari saya mengenang ketiadaan Allahyarham dan sedekahkan Al-Fatihah. Apabila saya masak menu sambal tumis, ingatan itu pantas ke arahnya kerana masakan itu antara kegemarannya. Sebagai kakak, saya yakin bukan gelaran atau pangkat datuk yang diharapkan tetapi lebih kepada apa yang disumbangkan Allahyarham.”


Razman Azrai Zainudin atau Atai
(Anak buah Allahyarham Sudirman)


“SAYA amat hargai usaha yang dilakukan pihak AETN All Asia Networks dan FINAS ini. Ikutkan memang terlalu banyak kenangan indah yang pernah saya lalui bersama Allahyarham. Saya juga pernah mengikutnya membuat persembahan. Ketika remaja, Allahyarham yang banyak menjaga saya. Allahyarham turut mengajar saya belajar dan menyanyi. Teringat lagi kenangan Allahyarham melakar peta geografi untuk saya. Allahyarham boleh saya sifatkan sebagai seorang yang kuat bekerja. 24 jam fikirannya hanya pada kerja. Selalunya sehari sebelum terbabit dengan persembahan, Allahyarham membuat persiapan rapi. Allahyarham juga lebih suka memendam masalah yang dilaluinya termasuk episod duka apabila perkahwinannya berakhir. Allahyarham akan buat-buat sibuk dengan bekerja. Setahu saya, Allahyarham ada berkenalan dengan perempuan lain tetapi semuanya tidak berpanjangan. Yang pasti cintanya terhadap bekas isteri kekal hingga akhir hayat. Tidak pernah berubah walau seinci pun.”

Larry Yusof
(Pengurus Strategik Domestik Warner Music)


“SAYA mengenali Allahyarham selama 10 tahun ketika bekerja sebagai eksekutif pemasaran di syarikat rakaman EMI. Apa yang dapat saya katakan, Allahyarham seorang yang kreatif, rajin dan kuat berusaha. Bayangkan dia sanggup menyewa lori dengan duit sendiri untuk mengangkut katil ketika membuat persembahan di RTM. Pernah kami bersama dari Kuala Lumpur sanggup ke Lapangan Terbang Subang semata-mata mahu makan roti canai di sana. Allahyarham pun seperti saya, tidak memandu kereta. Allahyarham gemarkan masakan sambal telur. Allahyarham juga tidak gemar berkongsi hal peribadi. Selalunya, hal peribadinya sering dikongsi bersama kakak, pengurus dan teman baiknya.”

Info menarik Sudirman

* DATUK Sudirman Arshad dilahirkan di Temerloh Pahang, pada 25 Mei 1954. Meninggal dunia pada 22 Februari 1992 di Kuala Lumpur. Dikenali sebagai penghibur, penyanyi, penulis lagu dan kartunis. Beliau juga turut diberikan jolokan sebagai Penyanyi Peguam, Penyanyi Rakyat dan Elvis Malaysia.

* Anak bongsu daripada tujuh beradik bagi pasangan Arshad Hassan dan Ramlah Dahlan. Allahyarham ibunya adalah wakil rakyat wanita pertama di Pahang ketika tahun 1950-an. Sudirman amat meminati nyanyian dan sebagai penghibur sejak usia muda lagi apabila adik beradik dan jirannya gembira serta terhibur dengan aksi ditunjukkannya.

* Dia menolak tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang perubatan. Sebaliknya, Sudirman memilih pengajian undang undang dan berjaya memperolehi ijazah sarjana muda dalam bidang itu di Universiti Malaya. Beliau berkahwin dengan Kamariah Jamaluddin pada 1981 tetapi bercerai tiga tahun kemudiannya.

* Tiga lagu nyanyiannya - Merisik Khabar, Milik Siapakah Gadis Ini dan Salam Terakhir meletakkan Sudirman sebagai penyanyi amat popular di kalangan peminat muzik di Malaysia, Brunei dan Indonesia.

* Setiap kali Aidilfitri, musim cuti sekolah atau bulan sambutan kemerdekaan, suaranya berkumandang di radio dengan lagu Anak Desa, Balik Kampung, Basikal Tua dan Tanggal 31.

* Sudirman pernah menerbitkan album untuk anak saudara kesayangannya, Razman Azrai atau Atai di bawah label Sudirman Productions. Pada April 1983, Sudirman menyanyikan lagu khas untuk Puan Sri Saloma berjudul Mama.

* Pada 15 April 1986, Sudirman mengadakan konsert terbuka di Jalan Chow Kit. Ia adalah konsert pertama diadakan di sebatang jalan terbuka dan disaksikan kira-kira 100,000 orang. Persembahan pada malam Isnin itu menyebabkan kesesakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Muda hingga Jalan Raja Alang.

* Pada 1989, Sudirman memenangi gelaran Penghibur Terbaik pada pertandingan Anugerah Muzik Asia di Royal Albert Hall, London. Pertandingan itu turut disertai oleh penyanyi terbaik dari Asia seperti Leslie Cheung mewakili Hong Kong, Anita Sarawak (Singapura), Epo (Jepun) dan penyanyi jazz terkenal Filipina, Kuh Ledesma.

* Sudirman juga pernah berlakon dalam filem Kami pada 1982 dan menjadi pengacara gameshow untuk sebuah program TV iaitu Keluarga Bahagia Singer.

* Sudirman menjadi penyanyi Malaysia pertama ditonjolkan sebagai seorang usahawan berjaya menerusi minuman ringan yang menggunakan jenama SUDI. Sudirman kemudian membuka francais pakaian iaitu Sudir Shoppe dan Restoran Sudi. Dia juga menjadi penyanyi Malaysia pertama menjadi penghias kulit muka depan majalah Malaysian Business dan Asian Business.

* Sudirman dipilih sebagai Duta Nyanyian Malaysia oleh Lembaga Pembangunan Pelancongan Malaysia (MTDC). Sebagai duta, dia menyanyikan lagu khas MTDC iaitu To Know Malaysia is To love Malaysia yang dicipta penyanyi dan pemuzik Amerika yang pernah mendapat pencalonan untuk anugerah Emmy, Grammy dan Oscar iaitu Carol Connors.

* ATAS sumbangan dan jasa besarnya kepada bangsa dan negara, Sudirman dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1988, Ahli Mahkota Pahang (daripada Sultan Pahang pada 1990), Johan Mangku Negara (daripada Yang diPertuan Agong pada 1992) dan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober 2009.

No comments: