Thursday, February 2, 2012

Berita Harian: Rumah Sudirman Terbiar, Dipenuhi Semak Samun

Tinggal Kenangan, selepas musnah dalam kebakaran pada tahun 2008

TEMERLOH: Namanya tersohor ke seluruh pelusuk negara, malah pernah mengukir nama di persada antarabangsa apabila menjadi penyanyi tempatan pertama mengadakan persembahan di Dewan Royal Albert Hall, London.

Mungkin ada benarnya perumpamaan Melayu 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama', kerana yang tinggal hanyalah satu nama, Datuk Sudirman Haji Arshad.

Selepas 20 tahun pemergiannya ke Rahmatullah pada 22 Februari 1992 pada usia 37 tahun, apa yang tinggal hanyalah nama dan himpunan lagunya yang masih segar dalam ingatan peminat.

Tinjauan Berita Harian ke rumah tempat dia dibesarkan di Kampung Bukit Tok Embun, Temerloh, baru-baru ini mengejutkan kerana bekas tapak rumah itu kini hampir sukar dijejaki kerana dilitupi semak samun. Rumah berkenaan hangus terbakar pada tahun 2008 dan yang tinggal kini hanyalah cebisan kayu rentung serta tapak rumah.

 Beginilah keadaan tapak rumah Sudirman sekarang yang terbiar

Berikutan itu, adalah wajar pihak berkuasa mengambil langkah membina semula rumah terbabit atau mendirikan memorial bagi menghargai sumbangan Sudirman kepada industri hiburan tanah air atau setidak-tidaknya meletakkan papan tanda yang merujuk kepada penyanyi itu.

Statusnya sebagai lagenda seni seharusnya dihargai sebagaimana yang diberikan kepada Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Sekurang-kurangnya jasanya akan terus dikenang dan dapat dihargai generasi baru yang bukan sezaman dengannya serta tidak hanya tinggal sekadar nama.

Perkara itu diakui seorang penduduk Kampung Tok Embun, Roslan Mohd, 53, yang turut menyaksikan pengebumian Allahyarham. Walaupun beliau tidak mengenali rapat keluarga Allahyarham, tetapi masih mengingati peristiwa ketika jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung itu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal.

"Saya masih ingat ribuan orang ramai datang ke rumahnya untuk menziarahi jenazah arwah. Bukan saja penduduk kampung tetapi juga kenalan dan peminat dari jauh turut datang ke sini," katanya.

Beliau yang bekerja sebagai pekerja am di Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) berkata, rumah keluarga Sudirman sudah tidak berpenghuni ketika berlaku kebakaran pada tahun 2008. "Sepanjang saya tinggal di sini, kerap juga orang datang ke rumah saya bertanyakan jalan untuk ke rumah Allahyarham kerana laluan untuk ke rumah itu agak terpencil," katanya.

Roslan yang juga anak jati Temerloh berkata, beliau pernah bertemu dengan penyanyi itu ketika dia pulang ke kampung dan menyifatkannya sebagai seorang yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja. "Pemergiannya pada usia muda amat dirasai dan dia juga menjadi kebanggaan Pahang, terutama orang Temerloh. "Malah langkah MPT menamakan jalan di Bandar Temerloh sempena nama Sudirman amat baik dan dapat mengingatkan orang ramai terhadap sumbangan penyanyi itu," katanya.

Sementara itu, tinjauan ke pusara Allahyarham Sudirman di Kampung Chengal pula mendapati keadaanya agak terbiar seolah-olah sudah lama tidak dikunjungi.

Sudirman ketika dinobatkan sebagai juara Bintang RTM (1976)

Ketika hayatnya, Sudirman pernah diikhtiraf dengan pelbagai anugerah seperti Penghibur TV Terbaik; menerima Anugerah Seri Angkasa; menjuarai pertandingan nyanyian Bintang RTM (1976); Persembahan Terbaik Anugerah Muzik-Muzik TV3 (1987) dan Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1989. Barangkali pencapaian terbesarnya ialah terpilih sebagai Penghibur No.1 Asia pada Anugerah Muzik Asia 1989 di Royal Albert Hall, London.

No comments: