Friday, February 17, 2012

Harian Metro: Himpunan Karya Seni Sudirman


APABILA bercakap mengenai simfoni orkestra, ramai hanya memikirkan hanya muzik Beethoven atau Mozart sering mendapat tempat. Bagaimana pula jika lagu artis legenda negara, Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad dipersembahkan oleh 40 pemuzik Orkestra Radio Televisyen Malaysia (ORTM) dan seramai sembilan artis popular tanah air?

Jawapan terbaik adalah menonton Siri Orkestra RTM 2012 mempersembahkan Konsert Sudirman Abadi Di Hati pada 24 Februari (Jumaat) bermula jam 9 malam. Konsert ini akan diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Bercakap pada sidang media pelancaran konsert itu, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik RTM, Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, konsert Sudirman ini adalah pencetus ‘trendsetter’ melalui usaha berterusan dilakukan oleh RTM.

“Program dirangka memberi gambaran jelas hala tuju arah seni muzik. Apapun, semuanya bukan mudah tanpa komitmen jitu daripada pelbagai pihak dalam memartabatkan industri seni kreatif ke tahap lebih tinggi,” katanya pada majlis pelancaran Siri Orkestra RTM 2012 di Auditorium P Ramlee, Angkasapuri, Khamis lalu. 

Hadir sama adalah Pengarah Perkhidmatan Muzik, Datuk Mokhzani Ismail dan Penerbit Perkhidmatan Muzik, Ali Shaib.

Konsert ini mengenengahkan karya-karya seni Penghibur Nombor 1 Asia dan Juara Bintang RTM 1976 ini secara kronologi. Ia bermula daripada album-album yang pernah dihasilkan bermula Teriring Doa (1977), Aku Penghiburmu (1978), Perasaan (1979), Anak Muda (1980) hinggalah ke album terakhir.

Artis yang bakal menjayakan persembahan terbabit adalah Adibah Noor, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Alyah, Bob, Shila Amzah, Tomok, Black, Aril dan Rey Bintang RTM.

Mengenai harapan membawa Orkestra RTM ke tahap lebih tinggi, Mokhzani berkata: “Impian utama adalah menarik masyarakat meminati orkestra. Kita masih belum boleh bercakap konsert pemuzik instrumental seperti Kenny G atau Yanni yang boleh menjayakan konsert instrumen mereka sendiri.

“Paling penting orkestra mengenengahkan kelainan menerusi penggubah hebat kita sendiri. Konsert Sudirman ini berbeza kerana banyak lagu jarang didengar akan disampaikan pada hari berkenaan,” katanya.



No comments: