Wednesday, July 10, 2013

PUASA DAN SAYA


Pertama kali saya cuba berpuasa ialah semasa saya berumur empat tahun. Ketika itu saya amat memandang tinggi terhadap abang-abang dan kakak-kakak saya yang tak tinggal-tinggal puasa dan saya amat ingin menjadi sebahagian dari kedewasaan mereka. Waktu bersahur, riuh-rendahlah jiran memukul 'gendang tong kosong' menandakan waktu untuk penghuni-penghuni sekitar kawasan kami bangun dari tidur mereka dan bersahur. 

Jiran sebelah-menyebelah mengetuk pintu dinding jiran-jiran sekeliling mengejut mereka yang masih tidur. Kelentang-kelentung bunyi di dapur. Saya tahu itu bunyi emak saya sedang bertanak nasi. Dan emak tak pernah mengadu separuh tidur. Ayah amat bangga dengan niat saya untuk berpuasa. Kami duduk keliling meja, mengadap masakan emak. Saya makan sampai buncit, supaya tahan lapar esoknya. Kemudian kami kembali tidur. Esoknya jam sembilan pagi, saya mencari nasi sejuk di dapur!

Tahun berikutnya saya mencuba lagi. Kali ini hingga jam dua belas tengah hari. Nenek saya kata kalau saya berpuasa sekerat hari untuk dua hari, ini akan menjadikannya satu hari puasa. Saya percaya saja. Tahun itu saya berpuasa enam hari, campuran 12 setengah hari berpuasa. Dan nenek mengingatkan saya supaya jangan menelan air liur walaupun air liur sendiri. Sepanjang saya berpuasa, saya asyik meludah sampai kering tekak. Saya takut buat salah. Saya takut batal puasa. Marah Tuhan, kata emak saya.

Sebelum berbuka, jiran-jiran bertukar-tukar juadah. Kerana saya yang paling bongsu di dalam keluarga saya, saya selalu kena angkat mangkuk makanan ke hulu ke hilir. Tetapi saya tidak komplen kerana kesucian dan keagungan bulan puasa itu sendiri memberikan saya satu perasaan yang baru, tak boleh marah-marah, mesti selalu tolong orang, tak boleh cakap kotor, tak boleh tidur, tak boleh mandi lama-lama, tak boleh berus gigi kerap sangat, takut telan air dan bermacam-macam lagi. Ini semua cerita nenek saya dan dulu ia telah menjadi kepercayaan  saya. Tetapi kini saya tahu ia merupakan muslihat nenek untuk melatih saya berpuasa.

Saat-saat sebelum berbuka puasa adalah saat-saat yang paling menguji. Ayah selalu marah bila melihat saya berhadapan dengan air sirap lima minit sebelum berbuka. Pernah suatu petang sebelum berbuka puasa, saya kena belasah oleh ayah saya kerana meminum segelas air sebelum masuk waktu berbuka. Sedang saya menghadap air sirap berselasih, saya terdengar bunyi pukulan beduk di masjid yang berhampiran, saya lantas meneguk air sirap di depan mata. Abang saya muncul di pintu sambil ketawa berdekah-dekah. Saya mula sedar yang pukulan beduk yang saya dengar tadi adalah buatannya. Puasa saya habis! Saya terus meraung.

Untuk berbuka, emak saya menghidangkan lauk yang berbagai jenis. Tetapi saya lebih gemarkan serunding kelapa dan serunding telur, digumal dengan nasi dan ditolak dengan air sirap berselasih. (Pengsan!!) Dan emak selalu mengingatkan. "Jangan tolak nasi dengan air, nanti ngaji Qur'an pendek nafas!"

Selepas berbuka, saya ke rumah jiran untuk berjumpa kawan-kawan. Dan saya tahu ibu-ibu mereka pasti menyimpan sedikit kuih untuk saya. Kemudian kami beramai-ramai ke masjid untuk sembahyang Terawih, bersongkok, beselempang kain, berbaju melayu dan bersongkok. Saban malam selepas sembahyang, seorang tua yang selalu tidur di masjid itu akan menceritakan kepada kami kisah-kisah polong, pelesit dan berbagai jenis hantu. Dan kami akan berlunggun-lunggun dilututnya. Katanya, di bulan puasa, roh orang-orang yang telah mati akan dilepaskan dan mereka boleh lihat apa yang kita lakukan. Kerana itulah apabila emak saya telah meninggal dunia, sayalah budak yang paling baik sepanjang bulan puasa, mengaji, sembahyang, buat baik, tolong orang, tak cakap kotor, tak bergaduh-gaduh, bersopan-santun dan apa saja yang baik. Kalau tidak, emak saya akan cekik saya, kata nenek saya. Takut! 

Petikan: Dari Dalam Sudirman, muka 17.






No comments: