Monday, August 27, 2012

Tanggal 31 Lagu Keramat


Rasanya tidak lengkap sambutan Bulan Kemerdekaan yang disambut setiap Ogos tanpa lagu Tanggal 31 nyanyian Penghibur No.1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Rentak dan bait-bait lirik serta kelunakan suara Allahyarham menjadikan lagu itu cukup berbisa Sehingga mampu menyentap semangat rakyat untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah negara bebas daripada belenggu penjajah itu.

Sejak berkumandang pada tahun 1982, lagu asal ciptaan penyanyi kelahiran Medan, Indonesia, Ahmad Chass Barra (Ahmad CB) terus meniti di bibir rakyat tanpa mengira latar belakang keturunan sehingga mencapai status malar segar.

Ahmad CB merupakan penyanyi asal lagu Tanggal 31

Tidak ramai yang tahu, rentak asal lagu tersebut bukan seperti didengari hari ini. Rentak asal lagu berkenaan lebih perlahan. Rentak yang didengari hari ini diubah atas permintaan Sudirman. Apatah lagi Sudirman pada ketika itu mahu memasukkan lagu berkenaan ke dalam album patriotik berjudul ABADI keluaran syarikat rakaman EMI.

Penerbit album berkenaan, S. Atan memberitahu, penggubahan semula irama lagu ciptaan dan nyanyian Ahmad CB itu dilakukan atas kehendak Sudirman sendiri sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

"Dia datang bertemu saya untuk merakamkan semula lagu penyanyi berasal dari Indonesia, Ahmad CB. Hasrat Sudirman semasa itu adalah untuk menukarkan lagu klasik berentak march itu kepada pop. Semasa hari rakaman saya terkejut apabila beliau bawa sekumpulan kanak-kanak dan orang tua untuk menyanyikan suara latar. Itu idea dia sendiri," kata S. Atan.

Menurut S. Atan populariti lagu Tanggal 31 yang dimuatkan di dalam album ABADI keluaran 1982 menjadikan album tersebut laris dengan jualan mencecah 50,000 unit.

Album ABADI terbitan tahun 1982 memuatkan lagu-lagu 
patriotik termasuk Tanggal 31

"Sebelum itu, tiada siapa yang berminat untuk merakamkan lagu patriotik, tapi selepas kejayaan lagu itu, semakin banyak lagu seumpamanya dicipta. Muzik penuh patriotik dengan seni kata yang mudah diingati itu menjadikan Tanggal 31 lagu paling dekat di hati kita setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan Negara," katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja bersama Sudirman, S. Atan menyifatkan penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang itu sebagai penghibur berani mengambil risiko dalam setiap tindakannya. Selain itu, katanya, Sudirman juga dikenali oleh semua sebagai penghibur yang sangat berdisiplin dan bertanggungjawab.

"Kerja dengan Sudirman mudah. Dia tepati masa, faham kerja dia dan tidak sesekali menyusahkan orang lain. Kalau ada rakaman, dia tidak ambil sebarang persembahan, tumpuan diberikan 100 peratus. Semua lirik dia hafal sebelum masuk studio," katanya.

Tambah beliau, selepas lebih 20 tahun pemergian penyanyi kecil molek itu, dunia hiburan tempatan masih tidak menemui pengganti yang mampu menandingi kehebatan Sudirman.

"Bagi saya beliau sentiasa hidup di antara kita. Setiap kali sambutan kemerdekaan, dia akan hadir. Bahkan sambutan Hari Kemerdekaan seperti tidak lengkap tanpa laungan sakti yang menyuntik semangat patriotik kepada seluruh lapisan masyarakat," katanya.

Tambahnya, Sudirman bukan sahaja seorang penghibur yang hebat tetapi beliau juga seorang yang sangat patriotik kepada negara."

Petikan: Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 25 Ogos 2012.

Tanggal 31 (Versi Sudirman)

Tanggal 31 (Versi asal Ahmad CB)