Tuesday, November 27, 2012

Sudirman Sayang Sangat ATAI


COKMAN ATAI - begitulah tajuk tulisan tangan Sudirman Haji Arshad untuk lukisan kartunnya semuka penuh di ruangan Teringat-ingat Sudirman yang pernah tersiar di majalah URTV kesayangan ramai, keluaran 1 November 1990.

Kartun ini memaparkan perasaan kasih sayang Sudir terhadap anak saudaranya, sejak Atai masih kecil lagi. Sememangnya Atai membesar di depan mata Sudir yang dipanggilnya Cokman atau panggilan sayang kesemua anak-anak saudaranya.

Atai nama penuhnya Razman Azrai memang tinggal serumah dengan Cokmannya kerana ibu dan ayahnya, Datin Rudiah yang mengikut suaminya Datuk Zainudin bertugas di luar Kuala Lumpur iaitu di Sabah dan di Pulau Pinang selama beberapa tahun.

Sudirlah yang membimbing Atai untuk menjadi penyanyi dan penghibur sepertinya dan muncullah album nyanyian Atai yang berjudul Sahabat pada tahun 1987 keluaran Sudirman Productions. Dan Atai kerap juga muncul di pentas show Sudirman dan di konsert Sudirman di RTM (TV1). 

Setelah 20 tahun berlalu, kartun ini diulang sekali lagi untuk tatapan peminat-peminat Allahyarham untuk kita fikir-fikirkan pemikiran Penghibur No.1 Asia ini mempunyai wawasan yang jauh ke depan, sentiasa berusaha dan bekerja untuk menggapai angan-angannya menjadi Jutawan Ternama setelah bergelar Penghibur Ternama.

20 tahun dulu, ketika kartun ini tersiar (1990) bisnes Sudir memang sedang meningkat, pantas dan laju minuman SUDInya laris di pasaran dan Sudir pernah membisikkan ke telinga BAM, tak lama lagi dia akan menggenggam keuntungan RM5 juta.

Sudir juga berbisik untuk memasarkan minuman SUDInya ke Eropah dan ke Amerika (lihatlah lukisan kartun Sudir di Hawaii) keluaran lalu. Kesemua lukisan kartunnya di URTV semasa hayatnya dulu... tersurat dengan angan-angannya... kekecewaan hatinya yang terluka parah gara-gara rumah tangganya yang musnah, Sudir akhirnya berhenti menangis meratap... dia terus tersedar dari khayalannya memuja bidadarinya yang ghaib entah ke mana!

Sudir akhirnya tidak mahu lagi hidup merana, lantas bekerja dan berusaha terus tanpa penat dan tanpa tidur, ingin menjadi insan yang berjasa kepada negara sekaligus memartabatkan dirinya ke darjat jutawan ternama... itulah angan-angannya seperti yang tersurat di sebalik Cokman Atai dan itulah yang tersirat di sanubarinya, Atai buah hati pengarang jantung akan menerima satu juta ringgit di hari jadinya yang ke-24 tahun nanti.

Tidak mustahil angan-angan Sudir akan menjadi kenyataan kiranya namanya memang telah tertulis di Loh Mahfuz usianya menjangkau hingga 50-an misalnya, kerana Sudir pernah berbisik, dia akan jadi jutawan di usia 40-an.

Renung-renung dan fikir-fikirkanlah lukisan kartun yang penuh makna ini tersiar pada tarikh 1 November 1990. Kemudian, lapan bulan selepasnya (20 Julai 1991) Sudir tiba-tiba jatuh sakit. Sama sekali tidaklah kita menyangka dan menduga penyakitnya itu berlarutan hingga menghembuskan nafas terakhir. Kematiannya sungguh menggemparkan seluruh negara.

Tujuh bulan lamanya Sudir terlantar sakit dan akhirnya dia meninggalkan kita semua buat selama-lamanya. Kisah Sudirman Haji Arshad, hidup dan matinya sungguh menyayat hati.

Sememangnya banyak impiannya yang tidak tercapai. Begitulah kehendak Allah Azza Wajalla! Dia Maha Pengasih Maha Penyayang terhadap hamba-hambanya. Apa yang telah terjadi itulah yang terbaik. Ada hikmahnya!

Mudah-mudahan roh Sudirman Haji Arshad sentiasa dilimpahi rahmat Allah S.W.T.


Atai Lupakan Angan-Angan Jadi Penyanyi

Atai bersama wartawan Fauziah Samad (tengah) dan Saodah Ismail

ATAI - panggilan manja Razman Azrai bin Datuk Zainudin sememangnya menjadi 'buah hati' kesayangan Sudirman - bapa saudara yang dipanggilnya Cokman.

Atai semasa kanak-kanak lagi, umurnya baru lima tahun Sudir sudah membawa ke pentas shownya berganding dalam program hiburan di televisyen (RTM1).

Cerita Atai: "Semasa Cokman menyanyikan lagu patriotik, saya berjalan hormat atas pentas sambil tabik kepada penonton. Saya yakin saya telah melakukannya dengan baik, selepas itu saya sering dibawa oleh Cokman ke pentas-pentas shownya.

"Suatu ketika saya masih ingat lagi, Cokman menyuruh saya memanjat tiang bendera di Dataran Merdeka semasa show Cokman di malam tahun baru. Saya kena berlakon sebagai 'Double'nya sementara penonton menumpukan perhatian kepada saya, tiba-tiba Cokman muncul dari bawah pentas."

Setelah merakamkan nyanyiannya dalam album Sahabat terbitan Sudirman Productions pada tahun 1987, Atai mula rasa seronok menjadi penyanyi, apalagi lagu nyanyiannya 'Pusing' menjadi lagu hits kegemaran budak-budak sebaya dengannya.

Keseronokan berada dalam dunia hiburan memang terasa sangat. "Memang, semasa Cokman masih hidup dulu, saya benar-benar mahu libatkan diri dalam dunia seni. Masa tu seronok sangat sebab Cokman ada. Bila Cokman dah tak ada lagi di dunia ini, keseronokan saya hilang serta-merta.

"Apatah lagi di saat-saat terakhir Cokman berpesan bagai amanat terakhirnya. Atai, janganlah sekali-kali Atai meneruskan kehidupan sebagai artis. Janganlah mengikut jejak Cokman sebagai anak seni. Sebenar-benarnya kehidupan insan-insan seni penuh dengan pancaroba.

"Begitulah pesan Cokman yang masih terdengar-dengar lagi. Selepas Allahyarham Cokman meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya, saya tidak lagi berangan-angan untuk menjadi penyanyi dan penghibur sepertinya. Saya berjanji tak akan melupakan amanat terakhir Cokman, bapa saudara yang paling saya sayangi. Dia amat istimewa bagi saya.

"Saya terlalu merinduinya... Dia sentiasa di hati saya walaupun dia sudah tak ada lagi di dunia ini. Segala kenangan hidup bersamanya tetap abadi."

Ketika Cokmannya meninggal dunia, Atai berusia 18 tahun dan masih menuntut lagi. Atai kini 38 tahun sudah bergelar sarjana lulusan University of Rhode Island, Amerika Syarikat, kini berjawatan bos di sebuah syarikat di Cyberjaya.

Atai telah pun melayari penghidupan rumah tangga bahagia di samping isteri dan anak-anak.

Mudah-mudahan penghidupan kita semua dilimpahi rahmat Allah S.W.T. Bahagia di dunia dan bahagia di akhirat, Insya-Allah. 

Petikan: Majalah URTV edisi 827, 01 -15 Disember 2012, catatan Bahyah Mahmood (Kak BAM).

Saturday, November 17, 2012

Liza Aziz Saksi Sudirman Pengsan

Liza Aziz ketika berduet bersama Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Pemergiannya semakin jauh... namun Allahyarham Sudirman Haji Arshad sentiasa dalam kenangan setiap insan yang berdampingan rapat dengannya. Di antaranya ialah Liza Aziz, anak gadis pasangan bintang filem ternama Aziz Jaafar dan Normadiah.

Julai, 1991 - Sewaktu Sudir tiba-tiba jatuh sakit yang membuatkan dunia artis gempar kerana tidak mengetahui khabar beritanya yang konon Sudir disembunyikan oleh keluarganya entah di mana...? Tup-tup saya menerima sepucuk surat kiriman Liza Aziz 'backing singer' Sudir.

Dalam suratnya itu Liza memulakan kata-kata: "Kak Bam tau tak, Liza adalah artis yang akhir sekali dapat bercakap dengan Abang Sudir.

"Hari itu seorang pembantu Abang Sudir telefon Liza meminta Liza turut serta dalam show Abang Sudir di Pulau Pinang. Tapi Liza terpaksa menolak ajakannya disebabkan pada tarikh yang sama, Liza pun ada show juga.

"Tapi 10 minit selepas tu, Abang Sudir sendiri telefon Liza merayu dan mengharap sangat-sangat Liza dapat bersamanya. Pujukannya membuatkan Liza sebak dan terus menangis dalam telefon.

"Kerana apa Liza menangis...? Liza menangis kerana Liza betul-betul tak percaya suara itu suara Abang Sudir... suaranya terketar-ketar... perlahan dan terputus-putus membuatkan Liza sukar nak faham apa yang diucapkannya.

"Suaranya dan kata-katanya masih lagi terdengar-dengar di telinga Liza. Liza rasa sedih dan kesian sangat. Terus Liza bersetuju untuk bersama show Abang Sudir dan membatalkan show Liza sendiri dengan rela hati.

"Abang Sudir rupanya seorang yang tabah, kerana dalam keadaan dirinya yang sakit, dia tetap datang untuk rehearsal. Semasa latihan kadang kala dia terlupa lirik lagu nyanyiannya kemudian tiba-tiba dia pengsan...! Kami semua terkejut dan kelam-kabut membantu menyedarkannya.

"Esoknya pembantu Abang Sudir memberitahu Liza, show di Pulau Pinang dibatalkan. Dan Abang Sudir telah dimasukkan ke hospital."

Sahabat Buat Abang Sudir


Liza terkilan sungguh tak dapat menghadiahkan kepada Abang Sudir kaset sulung Liza yang beredar di pasaran serentak pada hari kematiannya.

"Liza teringat, Abang Sudirlah orang yang paling gembira sekali bila Liza ditawarkan oleh Rediffusion Records sebagai recording artistnya.

"Sebelum itu Abang Sudir sering berkata, jika dia menubuhkan syarikat rakamannya nanti, Liza sudah pasti menjadi recording artistnya.

"Album ini terdapat lagu berjudul SAHABAT. Istimewa buat Abang Sudir. Liriknya mengisahkan perihal seorang sahabat yang telah pergi buat selama-lamanya.

"Liza sendiri tak tau mengapa semasa merakamkan lagu 'Sahabat', suara Liza tersangkut-sangkut, malah Liza tiba-tiba terasa sebak dan berdiri bulu roma dek perasaan terharu dan nyanyian Liza terpaksa diulang berpuluh kali. Pada hal pada ketika itu Abang Sudir sedang sakit... rupa-rupanya dia akan meninggalkan kita semua buat selama-lamanya.

Berulang kali Liza menyatakan rasa terhutang budi kepada Sudirman yang sentiasa memberi perangsang dan dorongan terhadap gadis yang satu ini yang sering merasa rendah diri dan pemalu.

Pada Sudir, Liza mempunyai bakat yang boleh diketengahkan. Kata Sudir: "Bukannya orang nak peduli kita gemuk atau kurus. Apa yang penting ialah bakat yang ada pada diri seseorang."

"Liza masih ingat, sebelum Abang Sudir terbang ke London bertanding di Royal Albert Hall, dia nampak kurang yakin dengan kebolehannya untuk mengalahkan penghibur-penghibur Asia yang hebat-hebat tu, tapi Liza memberi semangat dan meyakinkannya dengan kata-kata semangat: "To me Abang Sudir, you are number one. Masin mulut, dia memang Penghibur No.1 Asia.

"Walaupun Liza merasa terkilan dan sedih tak dapat menziarahinya sepanjang tujuh bulan lamanya dia sakit hinggalah dia meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya tapi Liza sentiasa berdoa agar rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah buat Abang Sudir tersayang, seorang insan yang istimewa!"

Demikian warkah Liza Aziz yang penuh syahdu...!

Petikan: Majalah hiburan URTV ruangan 'abadi dalam kenangan' catatan Bahyah Mahmood, keluaran 15-30 November 2012.