Saturday, February 3, 2018

JADI PENYANYI IMPIAN SAYA

Detik-detik manis sewaktu Allahyarham Sudirman menjulang Trofi kemenagan Bintang RTM 1976

Demam pertandingan akhir Bintang RTM datang lagi. Saya mengerti dan faham bagaimana gelisahnya perasaan peserta Bintang RTM ’84 yang sedang berada di hadapan kini. Saat-saat begini memang mendebarkan. “Susahnya nak menempa nama sebagai penyanyi,” fikir saya sambil duduk terpelosok di dalam Auditorium Angkasapuri.

Penyanyi? Semasa kecil tidak terlintas di kepala saya bahawa suatu hari nanti saya akan menjadi seorang penyanyi. Impian itu memang ada, seperti juga impian saya untuk menjejakkan kaki ke universiti atau untuk menjadi jaguh sukan, seperti yang telah saya ceritakan dulu. Memang saya mempunyai banyak impian. Tetapi tanpa usaha untuk melaksanakan impian itu akan terus tinggal sebagai suatu impian.

Saya masih ingat bagaimana saya sering dipaksa oleh guru dengan rotan untuk menyanyi di hadapan kelas. Saya juga ingat bagaimana Ustaz Buyung yang mengajar kami Al-Qur’an tidak membenarkan saya pulang kalau saya tidak menyanyikan sebuah lagu untuknya. Sebenarnya, sejak kecil lagi saya adalah seorang yang agak pemalu. Kalau tidak didera dengan rotan jangan harap saya menyanyi!

Setiap kali saya menonton pertandingan menyanyi di TV atau mendengar di corong radio, hati kecil saya melonjak-lonjak ingin menjadi penyanyi, saya khayal di dalam bayangan saat-saat saya menjulang piala kemenangan. Seronoknya! Tetapi itu hanyalah satu impian. Dan saya sedar tanpa membuka langkah tersebut akan tetap tinggal sebagai impian.

Saya menyertai pertandingan Bintang RTM ’76 pun atas desakan rakan-rakan. Itupun setelah menjejakkan kaki ke dunia pengajian tinggi, juga satu impian saya. Satu impian yang perlu saya berikan keutamaan ketika itu.

Keluarga saya tidak tahu menahu tentang penceburan saya. Sedar-sedar, gambar saya memakai seluar ‘baggy’ ayah saya terpampang di akhbar sebagai seorang peserta untuk peringkat awal pertandingan Bintang RTM ’76. “Peserta yang harus di awasi.” Tulis sebuah akhbar. Rasa keseronokkan begitu meruap-ruap di dalam dada saya kerana bakat saya telah disedari. Dan impian saya untuk menjadi penyanyi telah berputik. Kini terserah kepada saya untuk menjayakannya. Saya sedar bahawa bakat yang disertai dengan daya usaha yang gigih adalah menjadi kunci kepada sesuatu pencapaian.

Malam itu buat pertama kalinya saya muncul di kaca TV menyanyikan lagu Jali-Jali. “Muncul di layar TV? Saya? Kenapa tidak?” Saya berbual-bual dengan hati kecil saya. Saya perhatikan keluarga sekeliling. Mereka juga seakan-akan tidak percaya.

Persiapan untuk ke peringkat akhir tidak mungkin dapat saya lupakan. Saya begitu galak menghubungi pihak RTM bertanyakan sama ada pertandingan kali itu menggunakan orkestra bertali atau orkestra bertiup. Setelah mendapat penjelasan barulah saya sibuk mencari lagu yang sesuai. Dan kemudian timbul masalah mendapatkan sepasang ‘suit’ untuk saya pakai di dalam pertandingan akhir itu. Kalau difikirkan kenangan itu amat memilukan hati. Tetapi tidak apalah. Itu soal kedua. Apa yang lebih penting, ialah untuk saya berlatih berkali-kali di rumah di hadapan anak buah dan seekor kucing, Patchy.

Malam itu, Dewan Pay Fong di bandar Melaka penuh sesak dengan penonton. Ini saat penentuan bagi saya. Saya memakai hadiah suit kakak saya. Suit pertama dalam hidup saya. Persediaan saya sudah lengkap. Kini, selama beberapa minit di atas pentas saya harus menumpukan seluruh tenaga perhatian saya terhadap persembahan saya. Saya telah berada di ambang impian ini. Saya mesti melaksanakan bersungguh-sungguh. Nak jadi penyanyi! Sejak malam itu, saya mula mengenali tepukan gemuruh.

Esoknya, ketika menghadiri kuliah rakan-rakan kelas menghadiahkan saya tepukan tahniah. “Satu impian telah terlaksana. Kini, ada satu impian lagi,” fikir saya sambil duduk menghadap pensyarah dan juga rakan-rakan yang juga mempunyai impian untuk menjadi peguam. Insya-Allah! Saya membulatkan tekad saya!

Saya tersentak dari lamunan. Peserta-peserta Bintang RTM ’84 telah selesai menyanyi. Tiba pula giliran saya sebagai penyanyi undangan. Malam ini, seorang peserta yang berbakat lagi gigih akan tercungkil. Dia akan menjadi penyanyi. Penyanyi seperti Rosemaria, M. Rizal, Jamal Abdillah, Rohana Jalil dan saya sendiri.

*Kenangan Bintang RTM 1976, petikan tulisan Allahyarham Sudirman dalam bukunya Dari Dalam Sudirman.


No comments: