Tuesday, February 6, 2018

KAK CHAH DEDAH RAHSIA SUDIR

Antara ucapan yang pernah dikirimkan oleh Allahyarham Sudirman kepada Kak Chah (Habsah Hassan).

Sesungguhnya tiada siapa tahu pemergian penyanyi terkenal tanah air, Allahyarham Sudirman Haji Arshad sedekad yang lalu sebenarnya meninggalkan banyak kenangan dan hajatnya yang tidak kesampaian.

Apa yang amat menyedihkan ialah di ketika saat Sudirman mengalami sakit tenat, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab memburuk-burukkannya. Malah sewaktu Sudirman menghembuskan nafas yang terakhir pun, khabar negatif itu masih terus kedengaran.

Akhirnya Sudirman pergi meninggalkan seribu satu persoalan dan hajat yang tidak tertunai. Dan hingga kini semua hajat dan persoalan itu tiada siapa mampu memberikan jawapannya melainkan seorang teman akrabnya iaitu Habsah Hassan atau lebih mesra dengan panggilan Kak Chah. Hanya Kak Chah yang lebih banyak mengetahui rahsia Sudirman.

Sedekad sudah berlalu, namun nama Allahyarham Sudirman masih terpahat diingatan peminat. Bagaikan terbayang-bayang aksi ligatnya di pentas. Dia berpusing-pusing seperti gasing, dia mengibarkan bendera lambang patriotik. Gurau senda dan gelak tawanya seiring dengan lagu-lagunya yang membangkitkan nostalgia.

Namun tiada siapa tahu tangis di hatinya. Hingga menutup mata, Sudirman meninggalkan seribu satu persoalan yang sehingga kini tidak menemukan jawapan.

Apa sahaja yang dikaitkan dengan Sudirman mengundang perhatian orang. Kisah percintaan, perkahwinan waima perceraiannya menjadi buruan berita. Tidak termasuk kejayaan-kejayaan yang diraih lewat kerjayanya sebagai anak seni.

Barangkali tidak ramai yang tahu, Sudirman pergi membawa hajat yang tidak tertunai. Salah seorang rakan yang rapat dengan Sudirman mengakui hakikat ini. Puan Habsah Hassan atau Kak Chah berkata, Sudirman pernah menyuarakan kekecewaan hatinya akibat tohmah yang dilemparkan kepadanya.

“Sudir kecewa dan sedih terhadap khabar angin yang melanda dirinya. Walaupun dalam keadaannya yang sakit tenat, masih ada yang sanggup memburuk-burukkan Sudir. Padahal ramai yang tidak tahu keadaan sebenar Sudir. Namun Sudir tetap bersabar dan tabah menghadapinya. Bagi Sudir, biarlah Allah sahaja yang membuktikan kebenarannya,” kata Kak Chah.

Bercakap pasal Sudir, hati Kak Chah mudah tersentuh. Ini berdasarkan hubungan rapat mereka berdua. Kak Chah mengenali Sudir melalui produser Din Osman dari Warnada Records. Kak Chah diberi peluang mencipta lirik lagu ‘Terasing’ ciptaan Manan Ngah.

“Lagu itulah yang telah mengeratkan hubungan kami. Sebelum itu, Kak Chah ada juga tulis lirik untuk dua lagu dalam EP pertama Allahyarham iaitu lagu ‘Teriring Doa’ dan ‘Suratku Yang Ini’. Tapi lagu ‘Terasing’lah yang telah merapatkan hubungan kami. Katanya, saya dapat memahami perasaannya kerana lirik ‘Terasing’ dekat dengan kehidupannya,” tambah Kak Chah lagi.

Sebagai orang yang dianggap kakak, Sudir sering meluahkan, berkongsi rasa gembira dan sedihnya dengan Kak Chah. Rentetan suka-duka inilah yang Kak Chah garap menerusi lirik lagu dendangan Sudir. Maka lahirlah lagu-lagu seperti ‘Salam Terakhir’ yang cukup memberi makna sepanjang Sudir menjadi anak seni.

Secara peribadi Kak Chah menganggap Sudir sebagai insan berhati lembut dan perasaannya mudah terguris. Namun segala kekecewaan yang dialami sekadar dipendamkan sahaja. Sudir tidak pernah mengambil tindakan terhadap mereka yang melemparkan tohmahan buruk kepadanya, hanya dipendamkan sahaja keinginannya itu.

“Sebagai manusia, saya berdoa agar sesiapa yang pernah menyebarkan teori terhadap Sudir diampunkan Allah. Saya menyaksikan sendiri penyakit misteri Sudir dan saya kesal atas tuduhan yang dilemparkan kepadanya.”

“Sebenarnya Sudir ingin tahu dari mana datangnya khabar angin itu. Dia kecil hati dan tenggelam dalam kekecewaan hidupnya. Namun dia jadikan pengalaman itu sebagai motivasi untuk kariernya. Buktinya Sudir meninggalkan impak yang tinggi dan jejak yang berkesan terhadap dunia seni tanah air.”

Kak Chah menyifatkan Sudir sebagai penghibur yang berjiwa rakyat. “Dia memahami kehendak penonton selain ciri-ciri istimewanya yang penyayang, mudah tersenyum, baik hati dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang ditemuinya. Namun dalam pada itu, dia juga sensitif,” jelas Kak Chah yang hampir 15 tahun mengenali Allahyarham.

Kak Chah juga masih tidak melupakan kali terakhir menatap wajah Sudir. “Sewaktu Allahyarham meninggal dunia, wajahnya tenang saja. Raut wajahnya seperti bayi baru lahir, bersih. Suami saya turut membantu menguruskan jenazahnya. Melihat jenazah Sudir bertambah sayu hati Kak Chah.

*Petikan akhbar BACARIA 'Sedekad Pemergian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad' terbitan 22 Februari 2002.

No comments: