Monday, February 5, 2018

SUDIRMAN WAJAR TERIMA PENGHARGAAN NEGARA

Allahyarham Sudirman mencium Trofi yang dimenanginya setelah dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia pada tahun 1989

Nama Allahyarham Sudirman Haji Arshad, yang pernah mendapat gelaran Penghibur No. 1 Asia dan Penghibur Nasional wajar diabadikan oleh kerajaan atau pihak tertentu supaya generasi akan datang mengenali lebih dekat tokoh seni itu.

Usaha itu wajar memandangkan sumbangan, jasa, bakat, kreativiti dan kesungguhan Allahyarham Sudirman dalam meningkatkan seni budaya bangsa tidak terkira nilainya, malahan sudah mengharumkan nama Malaysia di negara luar.

Persatuan Penyanyi Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) turut bersetuju dengan pandangan Persada Seni malah menyarankan satu langkah segera wajar dibuat oleh pihak terbabit.

PAPITA mencadangkan nama Allahyarham Sudirman boleh diabadikan pada nama-nama jalan raya, dewan, galeri atau tempat awam yang membolehkan ia terus dikenang.

Malahan, PAPITA juga menyifatkan sudah tiba masanya selepas 10 tahun pemergian Allahyarham Sudirman, satu pingat atau darjah kebesaran dianugerahkan kepada Allahyarham sebagai memperingati jasa tokoh seni itu.

Presiden PAPITA, M. Daud Wahid, berkata pihak kerajaan menerusi Arkib Negara Malaysia atau agensi kerajaan lain serta pihak swasta, korporat dan pertubuhan kebudayaan wajar mengabadikan nama Allahyarham Sudirman secara lebih terhormat.

“Malahan, satu Pustaka Peringatan boleh dibuat untuk mengenang jasa Allahyarham Sudirman termasuk menghasilkan satu buku biografi mengenai Penghibur Nasional ini. Kita kena ingat, Sudir bukan sekadar penyanyi tetapi sudah bertaraf Penghibur Rakyat, Penghibur Nasional dan Penghibur Nombor Satu Asia. Gelaran ini memang besar dan wajar namanya diikhtiraf dengan lebih bermakna.

“Kita mahu usaha ini dibuat kerana sumbangan besar dan ketokohan Allahyarham Sudirman dalam soal seni budaya bangsa, khususnya dalam industri hiburan memberi impak kuat kepada masyarakat. Kita juga mahu generasi akan datang dapat mengenali lebih dekat siapa Allahyarham Sudirman.

“Apalah salahnya jika nama Allahyarham Sudirman diabadikan pada mana-mana tempat awam seperti jalan raya atau dewan? Jika di Indonesia ada nama Jalan Jeneral Sudirman atau Panglima Tentera kebanggaan rakyat di sana, tidak salah kiranya kita juga wujudkan nama Jalan Sudirman di sini sebagai memperingati seorang pejuang seni budaya bangsa Melayu.

“PAPITA juga berasakan sepatutnya Allahyarham Sudirman sudah menerima satu darjah kebesaran daripada kerajaan yang membawa gelaran Tan Sri atau setidak-tidaknya anugerah dari kerajaan Pahang.

“Kita rasakan Allahyarham Sudirman sebagai Penghibur Rakyat mempunyai banyak keistimewaannya. Allahyarham Sudirman menjadi kesayangan masyarakat dan kematiannya dirasai ramai, termasuk kaum lain. Allahyarham Sudirman sudah berjaya mencuri hati rakyat pebagai kaum dan menjadi simbol perpaduan rakyat menerusi muzik,” katanya.

Presiden PAPITA itu mengulas mengenai pemergian sedekad Allahyarham Sudirman. Hari ini adalah hari ulang tahun ke-10 beliau meninggal dunia. M. Daud juga berkata, PAPITA berpendapat jika ada anugerah yang tinggi diberikan kepada Allahyarham Sudirman, ia amat bermakna untuk penghayatan generasi muda.

“Memang Allahyarham Sudirman tidak sama dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tetapi kehebatan Allahyarham Sudirman patut dihargai. Kita cuma mampu memutarkan lagunya semula atau sekadar mengadakan konsert. Sesuatu yang lebih besar perlu dibuat sebagai mengangkat pengikhtirafan terhadap Penghibur Melayu ini,” kata M. Daud.

*Kini setelah lebih dua dekad (hampir 26 tahun) pemergian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad ke Rahmatullah masih belum ada pengikhtirafan yang sewajarnya diberikan kepada Allahyarham, hanya sebuah jalan kecil di bandar Temerloh dan Darjah Kebesaran DSAP di peringkat negeri yang membawa gelaran ‘Datuk’ dianugerahkan kepada Allahyarham setelah 17 tahun pemergiannya.

*Belum wujud sebarang Dewan, Galeri, Muzium atau Pustaka Peringatan atas nama Allahyarham Sudirman dibina sehingga kini. Beliau masih dikenang saban tahun, namun begitu jasa dan sumbangan beliau dalam memartabatkan industri seni budaya bangsa sehingga mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa seolah-olah dilupakan.

Artikel ini dipetik daripada akhbar Berita Harian sisipan ‘Persada Seni’ bertarikh 22 Februari 2002 oleh Akmal Abdullah.

No comments: