Thursday, February 8, 2018

THE GIRLS CERITAKAN PERANGAI SUDIRMAN


Selain dari gaya Sudir menyanyi, ada lagi sesuatu yang menarik pada pertunjukkan Sudirman di Paddock, Hotel Hilton baru-baru ini. Iaitu gaya dua orang gadis yang mengiringi Sudir menyanyi.

Penari-penari yang dilahirkan dari darah kacukan Cina, India dan Belanda itu kelihatan begitu cantik dan menarik. Gaya keduanya yang seirama ketika di pentas dan ketika berbicara itu, membuat keduanya kelihatan bagai pasangan si kembar.

Sebenarnya Yvonne Gabriel dan Yvone Blake yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘The Girls’ itu tidak mempunyai perhubungan persaudaraan sedikit pun jua. Mereka cuma bersahabat baik. Itu pun setelah dipertemukan oleh Sudirman.

Yvonne Blake dan Yvonne Gabriel sebenarnya merupakan bekas peragawati dari Studio Act One. Meskipun menerima didikan dari studio yang sama, namun pada waktu itu mereka tidak pula berkesempatan untuk bermesra atau berkenalan dengan lebih mendalam seperti yang mereka alami waktu ini.

“Studio Act One mempunyai ramai peragawati. Setiap hari kami bertemu, berbual dan bergurau secara beramai-ramai. Setiap orang ada saja jenakanya. Jadi manalah ada peluang untuk bertanyakan dan bercerita tentang peribadi masing-masing.

“Bukanlah kemesraan itu wujud setelah mengenali seseorang secara peribadi seperti yang kami alami hari ini?” Begitu bicara Yvonne Gabriel lemah lembut.

Menurut kedua-dua Yvonne, mereka merasa sungguh bertuah kerana Sudirman Haji Arshad yang mereka anggap sebagai Superstar Malaysia itu telah memilih mereka sebagai penari pengiring pertunjukannya di sebuah hotel antarabangsa itu.

“Tahun lalu” cerita Yvonne “saya terbaca iklan Sudirman mencari penari untuk pertunjukannya. Jadi saya pun pergilah mendaftarkan diri. Tak sangka permohonan saya mendapat layanan dan saya dipanggil untuk ditemuduga dan langsung diterima untuk menyertai pertunjukannya.”

Kini telah setahun kedua-dua Yvonne bekerjasama dengan Sudirman. Menurut mereka, Sudirman seorang penyanyi yang cerewet dan terlalu teliti ketika bekerja.

Jelas mereka: “Sudir sentiasa mahu memastikan supaya persembahannya betul-betul sempurna dari setiap penjuru. Untuk itu, dia selalu ambil berat pakaian kami, cara kami bermekap dan juga setiap pergerakan kami seperti memek muka, jelingan mata dan sebagainya ketika mengiringinya menyanyi.”

“Sewaktu berlatih, lagi teruk! Kerana sedikit kesilapan Sudir sanggup mengulanginya semula dari awal. Keadaan kami yang berpeluh-peluh macam orang mandi dan Sudir sendiri terpaksa berlenggeng di waktu membuat latihan, sudah menjadi perkara biasa!” jelas Yvonne.

Kalau mahu dikatakan penat menjadi penari pengiring Sudirman, memanglah penat dan teruk. Tetapi itulah pekerjaan yang amat digemari oleh kedua-dua gadis lincah ini. Mereka menganggap latihan-latihan yang dijalaninya bersama Sudir setiap hari itu sebagai suatu pergerakan jasmani yang baik bagi kesihatan serta suatu cara menjaga kecantikan badan yang paling berkesan.

“Kami dapat menimba pengalaman yang begitu berfaedah dari Sudir. Rasanya pengalaman ini tidak mungkin kami dapati dari penyanyi-penyanyi lain sebab Sudir adalah seorang penghibur yang mempunyai daya kreatif paling tinggi. Kami rasa amat bertuah dapat bekerjasama dengan Sudir!” Begitu pengakuan yang dilafazkan oleh Yvonne Blake dan Yvonne Gabriel berulangkali.

Menurut kedua-dua gadis jelita itu; “Kami rasa kalaulah pertunjukkan ini bukan Sudir yang menjadi hostnya, tetapi sebaliknya seorang penyanyi tempatan lelaki yang lain, kami rasa tentulah kejayaan yang dicapai tidak sehebat pertunjukan Sudir. Idea Sudir begitu fantastik! Bayangkan! Manalah mungkin seorang lelaki dapat memikirkan soal mekap, pakaian dan tarian yang bersesuaian untuk pentas?”

“Tapi Sudir dapat memikirkan soal itu semua dengan baik sekali. Itulah keistimewaannya!” Begitu puji kedua-dua Yvonne terhadap Sudirman yang baru saja selesai membuat persembahan di Hotel Hilton baru-baru ini.

*Petikan artikel ‘Cover Story’ majalah hiburan URTV keluaran 15 November 1984 oleh Fatimah Hassan.

No comments: